Showing posts with label Renungan Bersama. Show all posts
Showing posts with label Renungan Bersama. Show all posts

Monday, 7 February 2011

Nilai hidup : Apa pilihan kita?


Bahagia atau derita? Kita pilih.


Di suatu petang yang damai, aku dan adikku sedang duduk-duduk di ruang tamu. Uwais, adikku yang baru menginjak umur 9 tahun sedang leka menonton kartun kegemarannya di televisyen. Aku pula sibuk membelek-belek Novel Sejarah Islam yang baru dibeli pagi itu. Sedang aku leka membaca, tiba Uwais menyapaku.

“Abang Sufi, kenapa orang tu menangis macam itu? Teruknya dia menangis.” Aku memandang ke arah yang ditunjuk Uwais. Di skrin televisyen. Jelas terpapar iklan seorang gadis menangis dan jatuh terduduk kerana gagal terpilih dalam salah satu rancangan realiti televisyen.

“Ohh perempuan tu tak dapat masuk pertandingan tu. Dia nangis la.” Aku hanya menjelas ringkas.

“Ohh.” Uwais angguk-angguk.

“Pertandingan apa tu?” Dia menyambung lagi.

“Pertandingan jadi pelakon, abang rasa.”

“Tapi kenapa tidak dapat masuk berlakon pun nak menangis macam tu. Macam budak-budak aje.” Aku tertarik dengan kata-kata Uwais. Aku memberikan lebih tumpuan padanya.

“Sebab dia meletakkan nilai hidup dia pada lakonan. Populariti. Apabila dia gagal mencapai nilai yang dia tetapkan, maka dia akan kecewa dan sedih.” Aku menjelaskan semampu yang boleh. Aku tidak pasti sama ada budak darjah 3 sepertinya mampu faham atau tidak.

“Nilai tu macam mana abang? Tak faham la.” Dahi Uwais sudah mula berkerut-kerut. Aku hanya tersengih melihat riak wajahnya.

“Ok macam ini. Contohnya macam ni. Dulu Uwais pernah cerita kat abang kan, ada kawan Uwais yang kat hujung jalan tu nangis-nangis tak nak pergi sekolah sebab pensil yang dia suka hilang. Kalau Uwais jadi dia, pensil Uwais yang paling Uwais suka hilang, Uwais pergi sekolah tak?” Aku sengaja mencuba nasib memberi contoh yang agak mudah difahaminya.

“Pergi kot. Tapi Uwais akan sedih juga la. Tapi takde la sampai tak pergi sekolah.” Uwais menjawap dengan baik. Aku senyum.

“Kenapa?” Sekali lagi akau cuba memancing jawapan

“Sebab hilang pensel je. Benda kecik. Tak akan itu pun tak nak pergi sekolah. Lain la kalau hilang kasut sekolah ke. Uwais dah takde kasut lain. Hehehehe. “ Uwais tergelak. Aku juga begitu.

“Hah, macam tu la jugak dengan orang besar. Diorang rasa benda yang diorang suka itu adalah segala-galanya dalam hidup diorang, sedangkan kita rasa macam tak ada apa pun. Benda kecil aje. Sebab itu kita kena tahu apa yang kita nak kejar di dunia ini Kita hidup untuk apa? Err.. Uwais faham ke apa abang cakap ini?”

“Oh, fahamlah sikit. Abang, cerita kartun nak mula dah. Uwais nak sambung tengok cerita.” Uwais kembali berbaring di hadapan televisyen dan meneruskan aktivitinya sebentar tadi. Aku hanya tersenyum. Kadang-kadang nasihat atau teguran dari Allah itu datang secara tidak langsung daripada adik-adik kita. Subhanallah.

***

Beginilah sahabat-sahabatku sekalian. Manusia itu akan cenderung mengejar apa yang dicintainya. Jika populariti yang dikejar, maka segala kudratnya, usahanya malah hartanya akan dikorbankan kearah pencapaian itu. Jika harta yang dikejar, begitu jugalah ceritanya. Berbagai-bagai jalan dan pengorbanan akan dilakukan untuk menjadi kaya. Itu tidak termasuk lagi ada diantara kita yang meletak nilai kecantikan, kemahsyuran, hiburan dan seupamanya sebagai matlamat hidup. Tidak hairanlah manusia akan kecewa dan sedih yang terlampau apabila nilai yang diletakkannya itu gagal diperoleh di dalam hidup ini.

Sahabat-sahabatku, jangan kita lupa, dalam keasyikan manusia mengejar nilai duniawi, masih ada segolongan manusia yang amat sedikit setia mengejar nilai ukhrawi. Golongan inilah yang kita hajati untuk masuk kedalamnya. Apabila kita meletakkan nilai hidup kita pada sesuatu perkara yang sangat besar, maka apa juga perkara kecil yang menyekat perjalanan kea rah pencapaian matlamat akhir itu tidak mampu mengoyahkan jiwa.

Cuba kita bayangkan seorang pelajar lulusan luar negara, menangis teresak-esak apabila mengenangkan pasukan bola sepak yang diminatinya kalah. Atau marah apabila juri tidak adil mengadili penyanyi kesukaannya di pertandingan-pertandingan nyanyian. Alangkah rendahnya nilai air mata kita, teman. Menangisi sesuatu yang sangat kecil. Nampaknya ilmu daripada Institusi terkemuka tidak mampu membuatkan kita meletak nilai hidup pada taraf yang lebih tinggi.

Atau jika mahu contoh yang tragis, remaja yang membunuh diri kerana putus cinta, atau gagal dalam peperiksaan! Rendahnya nilai hidupmu wahai manusia!

Ini hanya contoh sahaja. Kita sendirilah yang lebih tahu, setinggi mana kita meletakkan nilai hidup kita. Jika kita menyelongkar kembali lembaran sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat, kita dapat melihat dan mengambil banyak contoh-contoh terkait nilai hidup yang tinggi.

Rasulullah SAW sendiri, apabila dipujuk oleh bapa saudaranya untuk meninggalkan Deen ini, baginda tetap tsabat hingga walaupun sekiranya bulan dan matahari diletakkan di kedua belah tangan baginda, tidak sesekali baginda akan meninggalkan urusan Deen ini. Kerana apa? Kerana baginda ada perkara yang lebih besar untuk dicapai. Keredhaan Allah dan penyebaran Islam yang lebih luas.

Atau mungkin kita boleh merungkai kisah Mus’ab B Umair. Terpaksa berhadapan dengan ibunya yang masih kafir. Malah diugut oleh ibu sendiri , ibunya akan membunuh diri jika Mus’ab tidak kembali kepada agama nenek moyang. Tahukah kita apa yang dijawap oleh Mus’ab?

“Wahai ibu. Sekiranya ibu ada seratus nyawa dan nyawamu keluar satu persatu, aku tetap tidak akan berganjak daripada agama ini.”

Subhanallah.

Inilah nilai hidup yang tinggi yang diletakkan oleh para generasi awal.

Kita bagaimana?

Ayuh sama-sama meninggikan nilai hidup kita.

Wallahualam.

Tuesday, 29 June 2010

Renungan Bersama: Ekstrim itu di sana...



Ekstrim itu di sana...

Oleh: Bro Jo, Warwickshire


Dalam meniti hari-hari di bumi permaisuri ini, sudah pasti diantara topik-topik bualan harian adalah terkait dengan faktor cuaca. Maklumlah, tanah bermusim empat ini pasti sentiasa berubah waktu dan ketika, cerah dan gelapnya, berdaun dan kadang-kala gugur, bersalji dan kadang-kala kering. Indahnya cuaca ciptaan Allah swt yang dinamakan winter, spring, summer dan autumn. Dan seperti biasa, antara isi bualan manusia adalah terkait dengan suhu, sejuk atau panas. Ketika winter membuka tirai, biasanya keluhan tidak selesa dengan kedinginan melampau (ekstrim) manakala di kala summer menjelma, terpacul pula keluhan 'hari ni panas sangat la'...dan dialog-dialog ini sudah pasti berputar mengikut pusingan musim yang pasti berubah dengan izin Allah swt. Manusia, tetap dengan sifatnya yang lemah, penuh dengan keluh dan kesah... Hidup bagi mereka sentiasa penuh dengan ketidak sempurnaan dan tanpa disedari (mungkin tidak sengaja) keluhan tersebut seolah-olah menyatakan 'ada yang tidak kena dengan ketetapan ciptaan Allah swt ini'. Nauzubillah min zalik.




Keinginan yang pelbagai...


Itulah manusia. Uniknya terletak pada keingginan yang pelbagai. Diciptakan Allah swt dengan balutan nafsu, dicampak pula di tengah-tengah pelbagai bentuk kenikmatan. Suka atau tidak, manusia bukan hanya diuji dengan sesuatu yang dibenci sahaja, tetapi juga diuji dengan kenikmatan. Adakah nikmat yang ada ini, mendekatkan kita kepadaNya?

Jika diperhalusi dan diteliti (muhasabah), ramai yang jatuh terkulai disebabkan sentiasa inginkan sesuatu yang melebihi batasan yang telah ditentukan Allah swt. Sentiasa berhajat pada sesuatu yang melampau (ekstrim). Jika berhibur, melampaunya sampai rosakkan aqal yang sihat, rosakkan maruah yang berharga. Jika kaya, harta dibazirkan tanpa dihitung lagi, perilaku syaitan menjadi ikutan. Jika makan, seolah-olah tidak pernah bertemu makanan seumur hidup, dilahap sungguh-sungguh dan berakhir dengan kenyang, penat, letih, lemah dan membazir. Senaraikan, pasti bertemu dengan sifat melampau tersebut (ekstrim).

Benarlah kata-kata As-Syahid Syed Qutb yang dirahmati Allah swt, 'manusia yang duduk dalam nikmat terlalu lama, hingga terlupa dia berada dalam kenikmatan', dan tetap ingin kenikmatan yang melampau (ekstrim).

Ketika bersuhu dingin, kita berhajat kepada kepanasan manakala jika dalam musim panas terdetik juga inginkan kesejukan. Jika miskin, selalu beranggan-anggan nak jadi kaya dan bila dah kaya beranggan-anggan pula nak jadi kaya-raya. Inilah roda keinginan yang tidak pernah berhenti kecuali apabila nyawa telah berada di tahap ingin meninggalkan kita di kerongkongan nanti.

Dunia bersifat sederhana...


'Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Al-Furqan: 67

Al-Quran banyak berbicara terkait kehidupan dunia yang bersifat sementara dan sederhana ini. Ummatan wasothan sudah pasti menjadi pilihan kita. Ummat pertengahan.

'Dan demikianlah Kami telah menjadikan kalian sebagai umat pertengahan (ummatan wasathan)...' (al-Baqarah: 143)

“Alangkah ajaibnya orang mukmin, dan hal ini hanya berlaku kepada orang mukmin. Sekiranya ia mendapat kebaikan, ia bersyukur, maka itu perkara yang baik. Sekiranya ia ditimpa musibah, ia bersabar, maka itu perkara yang baik.” Hadith Riwayat Muslim.

Mukmin yang benar itu adalah mukmin yang sederhana. Tidak gelojoh dengan nikmat dunia dan tidak pula bersedih hati dengan ujian yang menimpa.

Disatu sisi yang lain, manusia yang tersesat adalah mereka yang gelojoh dan tidak sabar kepada nikmat dunia dan melampau dalam menikmatinya. Jika meninggalkan ajaran dan suruhan Islam untuk mengejar kenikmatan melampau (ekstrim) di dunia ini, sudah pasti kita menjadi manusia yang akan rugi di akhirat nanti.. Ini kerana ektrim itu di sana nanti.

Ekstrim itu di sana..


Bagi mukmin, ekstrim itu disana.., yakni Darul Akhirah (negeri akhirat).
Di Darul Akhirah nanti, bagi orang-orang yang beriman akan kekal berada dalam kenikmatan syurga yang melampau (ektrim).. katakan apa sahaja nikmat yang diinginkan? pasti ada, pasti dapat dan tanpa batasan.. (ekstrim). Makan disyurga Allah boleh tanpa henti, minum boleh tanpa henti, buah-buah boleh dipetik dengan jari, bidadari mengelilingi diri, katakan apa sahaja sudah pasti akan kita dapati... Tiada lagi keluh kesah panas atau sejuk, tiada lagi kedengaran gendang kelaparan, tiada lagi merasa keletihan, tidak perlu lagi kita bersabar, lakukan apa sahaja yang diinginkan wahai penghuni syurga Allah swt... Ekstrim kenikmatan itu di syurga Allah swt nanti..

Di sana juga, terdapat ekstrim yang kedua,.. yang pasti mendukacitakan kita..Darul Akhirah juga menyajikan azab yang melampau (ekstrim) kepada mereka-mereka yang ingkar dan mereka-mereka yang telah memilih untuk melampau (ekstrim) semasa di dunia ini. Di sana nanti sedang menunggu neraka Allah swt yang penuh dengan nilai ekstrim yang tiada hentinya. Dituang minuman panas yang menggelegak, dibakar dengan kepanasan yang melampau, dipenuhi darah dan nanah, katakan apa bentuk ketidaksukaan manusia hari ini, pasti disana nilainya jauh lebih tinggi (ekstrim). Azab tiada henti (ekstrim). Tiada sedikit pun kelalaian, kerengangan masa dan kekurangan. Di azab pada kepanasan, kesakitan, kekeluhan yang tiada henti dan berterusan..

Oleh itu, marilah kita berfikir dan merenung sekejap, untuk kita menahan diri dari merangkul dunia ini tanpa batasan (ekstrim). Tenangkan diri walaupun kita merasakan ianya sukar, bersederhana dalam tingkahlaku, pakaian, kenderaan, makan-minum dan gunakan lebihan-lebihan yang ada untuk kita jadikan pelaburan (infaq) bagi mendapat nikmat melampau (ektrim) di syurga Allah swt nanti.. Biarkan orang-orang kafir tertipu dengan nikmat dunia yang sementara ini.. kelak nanti mereka juga akan mendapat nilai ektrim (melampau) tetapi dalam bentuk azab Allah swt.. tak perlu dengki kepada mereka.

Ekstrim itu disana rupanya.. di Darul Akhirah nanti..



Wednesday, 14 April 2010

Renungan Bersama: Pelajaran dari Musim Bunga



Dengan Nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

MUSIM BUNGA tiba lagi!

Alhamdulillah, tiba sudah musim bunga yang kita nanti-nantikan keceriaannya. Saya bilang, tentu saja ramai di kalangan kita berusaha megambil peluang mengambil dan merakamkan gambar-gambar bunga-bunga yang sedang mekar indah ini. Sungguh, saya sendiri tak terkecuali walaupun tak lah memiliki Camera DSLR lagi (ngee..). Meskipun ini adalah musim bunga kedua yang saya lalui sepanjang saya berkelana di bumi UK ini, masih saya belum puas menatap dan menghayati kebesaran ALLAH pada bunga-bunga yang indah nian ini.

Dalam pada itu, terlintas di hati saya, sibuknya kita pada bunga-bunga ini harus seiring dengan sibuknya kita pada urusan keimanan kita kepada-Nya. Bahkan, sebaiknya, bunga-bunga di taman itu seharusnya membantu kita semakin dekat dengan DIA yang MAHA HEBAT lagi MAHA SEMPURNA. Kita tak nak kekaguman kita pada bunga-bunga itu melebihi kekaguman kita kepada Sang PENCIPTA bunga-bunga tersebut, insya-allah. Sungguh, jika kita perhalusi, banyak pelajaran yang kita boleh ambil dari bunga-bunga ini, insya-allah.. tapi, apa ya? Jom kita sama-sama kita tekuni....!


KEMATIAN dan KEHIDUPAN

Ya, teman-teman, tentu kita masih ingatkan suasan musim sejuk yang lalu? Pohon-pohon togel, tiada dedaun, apa lagi bunga-bungaan. Putih salju yang sejuk menutupi segalanya. Tapi, hari ini, segalanya berubah. Tak pasal-pasal, defodil kuning dan putih bercambah-cambah di jalanan. Pepohon mula dipenuhi dedaun yang hijau segar. Bunga-bunga liar pelbagai warna yang lain juga mekar menjadikan suasana sangat ceria.

Maka, apakah pemandangan ini tidak menjadikan kita terfikir, akan betapa mudahnya DIA mencipta suatu kehidupan baru sesudah kematian pernah hadir? Apakah pemandangan ini tidak menjadikan kita bertambah YAKIN bahawa TIDAK MUSTAHIL bagi ALLAH utk mengHIDUPkan kita semua semula untuk diHISAB dihadapanNya nanti, sesudah jasad kita pernah hancur dimakan tanah? Ya.. itulah kehidupan yang baru setelah kematian yang kita boleh sama-sama pelajari dari bunga-bunga yang sedang mekar indah di taman-taman kita.

Bersama ini, suka saya petik firman ALLAH swt dari surah Al-Ankabut, ayat 20;

‘Katakanlah; ‘berjalanlah di bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah memulai penciptaan makhluq, kemudian Dia mengulanginya (kembali). Sungguh yang demikian itu mudah bagi ALLAH swt’

Begitu juga surah Al-a’raf, ayat 57;

‘Dialah yang meniupkan angin sebagai berita gembira mendahului kedatangan rahmat-Nya (hujan), sehingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halaukan ia ke suatu daerah yang tandus, lalu kami turunkan hujan di daerah itu. Kemudian kami tumbuhkan dengan hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu beroleh pengajaran.’

Semoga dengan merenung penciptaan bunga-bunga ini menjadikan kita semakin lebih Yakin dengan Hari Kebangkitan, dan juga semakin bersiap sedia untuk berhadapan dengan hari tersebut. Insya-allah.



KEBESARAN dan KEAGUNGAN-NYA

Melihat bunga-bunga di taman-taman itu, cuba bilang berapa warna dan berapa bentuk yang Dia zahirkan pada kita melalui bunga-bunga ini. Ha.. di bawah ini adalah beberapa keping koleksi gambar musim bunga 2009 saya.

Mari kita bilang, berapa warnakah yang dapat kita lihat dari gambar bunga-bunga ini?

Subhanallah, banyakkan? Saya bilang lebih dari 10 warna iaitu kuning, ungu muda, ungu violet, jingga terang, putih kuning, putih biru, biru, merah, kuning jingga dan pink kuning. Kamu pula bagaimana?

Bagaimana pula dengan bilang bentuk bunga? Subhanallah, saya ‘surrender’ untuk mengiranya kerana jujurnya saya tak mampu menamakan bentuk-bentuk tersebut kerana terlalu banyaknya. Ke ada sapa-sapa nak cuba kira bentuk-bentuk yang dia boleh ‘identify’ dari bunga-bunga ini? Di bawah ada lagi gambar bunga-bunga dari koleksi 2009 saya. Insya-allah. Sila-sila bilang berapa bentuk yang dapat kita lihat dari bunga-bunga ini?


Bagaimana? Adakan bentuk yang kita tak tahu nak namakan apa...? Subhanallah.. Alhamdulillah, ALLAHuakbar..

Oleh itu, teman-teman, mari kita renung-renungkan. Dari tanah yang sama, dari air yang sama, dari baja yang sama, bahkan kadangkala dari benih yang sama, terbit pelabagai jenis warna dan bentuk bunga-bunga.. maka, apakah hal ini tak mampu membantu kita berfikir akan betapa ada satu KUASA yang MAHA HEBAT yang telah menetapkan segala sesuatu mengikut ukuran-Nya yang sebaik-baiknya? Nauzubillah..

Firman-Nya dalam Al-Quran Al-Karim;

‘(Dia) Yang memiliki kerajaan langit dan bumi, tidak mempunyai anak, tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan-Nya, dan DIA menciptakan segala sesuatu, lalu MENETAPKAN UKURAN-UKURANnya denga serapi-rapinya’ (Al-furqan: 2)

Selain itu, firman-Nya lagi dalam Surah Al-ana'am, ayat 99;

Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang korma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Semoga dengan merenung keindahan kepelbagaian warna dan bentuk bunga-bunga ini membantu kita untuk semakin YAKIN dengan KeHEBATAN dan KEBESARAN-NYA serta mengakui kelemahan dan kekurangan kita sebagai hanya seorang hamba yang dicipta.-Nya.. Insya-allah.



CINTA yang TAK PERNAH LAYU

Akhir sekali, suka saya ingatkan kata-kata yang mungkin semua kita pernah dengar..

Cinta kan bunga, bungakan layu... Cintakan manusia, manusia kan pergi.. Cintakan TUHAN, Dia Maha Kekal Abadi...



Itulah yang saya benar-benar rasa ketika musim bunga tahun lalu berakhir. Sedih hati melihat satu demi satu bunga layu dan kemudiannya mati. Tak ada apa yang mampu saya buat, kerana itu aturan-NYA. Daffodil, Tulip dan Mawar yang kita lihat hari ini, suka bagiamanapun kita padanya, semua akan layu dan mati bila tiba masanya.

Tapi, sebagaimana kita tahu. Ada satu CINTA yang takkan PERNAH LAYU, atau PERGI atau MATI. CINTAkan YANG MAHA PENCIPTA segalanya... DIA tetap berdiri teguh, MAHA HIDUP lagi MAHA LUAS RAHMAT KASIH-NYA...

Firman-Nya dalam surah Al-baqarah: ayat 255;

'Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya). tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa'at di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.'

Firman-Nya lagi dalam surah Qoof, ayat 16;

‘Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,’

Semoga dengan melihat hakikat hayat yang pendek pada bunga-bunga ini, semakin membantu kita untuk YAKIN dengan KeABADIAN DIA YANG MAHA ABADI... insya-allah..


KESIMPULAN

Kesimpulannya, sebagai Muslim yang sentiasa berusaha menjaga IMAN dan HUBUNGANnya dengan TUHANnya, marilah sama-sama kita menjadikan apa sahaja perkara atau peristiwa di sekeliling kita sebagai jalan untuk mendekatkan diri kita dengan DIA yangMAHA HEBAT.

Marilah kita memandang dunia dengan kaca mata Islam dan Iman, seperti mereka yang tersebut di dalam surah Ali-Imran,190-191;

‘Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.’


Sekian,

Wallahua'lam. Wassalam.

p/s: utk makluman semua, UK dan Eire sekarang tengah Musim Deffodil.. ini hadiah utk yang belum berpeluang menatap bunga Deffodil yang unik ini... (",)



Salam persaudaraan di Jalan ALLAH,

SerVanT of ALLAH

Plymouth, England.



 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes