Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Monday, 7 February 2011

Nilai hidup : Apa pilihan kita?


Bahagia atau derita? Kita pilih.


Di suatu petang yang damai, aku dan adikku sedang duduk-duduk di ruang tamu. Uwais, adikku yang baru menginjak umur 9 tahun sedang leka menonton kartun kegemarannya di televisyen. Aku pula sibuk membelek-belek Novel Sejarah Islam yang baru dibeli pagi itu. Sedang aku leka membaca, tiba Uwais menyapaku.

“Abang Sufi, kenapa orang tu menangis macam itu? Teruknya dia menangis.” Aku memandang ke arah yang ditunjuk Uwais. Di skrin televisyen. Jelas terpapar iklan seorang gadis menangis dan jatuh terduduk kerana gagal terpilih dalam salah satu rancangan realiti televisyen.

“Ohh perempuan tu tak dapat masuk pertandingan tu. Dia nangis la.” Aku hanya menjelas ringkas.

“Ohh.” Uwais angguk-angguk.

“Pertandingan apa tu?” Dia menyambung lagi.

“Pertandingan jadi pelakon, abang rasa.”

“Tapi kenapa tidak dapat masuk berlakon pun nak menangis macam tu. Macam budak-budak aje.” Aku tertarik dengan kata-kata Uwais. Aku memberikan lebih tumpuan padanya.

“Sebab dia meletakkan nilai hidup dia pada lakonan. Populariti. Apabila dia gagal mencapai nilai yang dia tetapkan, maka dia akan kecewa dan sedih.” Aku menjelaskan semampu yang boleh. Aku tidak pasti sama ada budak darjah 3 sepertinya mampu faham atau tidak.

“Nilai tu macam mana abang? Tak faham la.” Dahi Uwais sudah mula berkerut-kerut. Aku hanya tersengih melihat riak wajahnya.

“Ok macam ini. Contohnya macam ni. Dulu Uwais pernah cerita kat abang kan, ada kawan Uwais yang kat hujung jalan tu nangis-nangis tak nak pergi sekolah sebab pensil yang dia suka hilang. Kalau Uwais jadi dia, pensil Uwais yang paling Uwais suka hilang, Uwais pergi sekolah tak?” Aku sengaja mencuba nasib memberi contoh yang agak mudah difahaminya.

“Pergi kot. Tapi Uwais akan sedih juga la. Tapi takde la sampai tak pergi sekolah.” Uwais menjawap dengan baik. Aku senyum.

“Kenapa?” Sekali lagi akau cuba memancing jawapan

“Sebab hilang pensel je. Benda kecik. Tak akan itu pun tak nak pergi sekolah. Lain la kalau hilang kasut sekolah ke. Uwais dah takde kasut lain. Hehehehe. “ Uwais tergelak. Aku juga begitu.

“Hah, macam tu la jugak dengan orang besar. Diorang rasa benda yang diorang suka itu adalah segala-galanya dalam hidup diorang, sedangkan kita rasa macam tak ada apa pun. Benda kecil aje. Sebab itu kita kena tahu apa yang kita nak kejar di dunia ini Kita hidup untuk apa? Err.. Uwais faham ke apa abang cakap ini?”

“Oh, fahamlah sikit. Abang, cerita kartun nak mula dah. Uwais nak sambung tengok cerita.” Uwais kembali berbaring di hadapan televisyen dan meneruskan aktivitinya sebentar tadi. Aku hanya tersenyum. Kadang-kadang nasihat atau teguran dari Allah itu datang secara tidak langsung daripada adik-adik kita. Subhanallah.

***

Beginilah sahabat-sahabatku sekalian. Manusia itu akan cenderung mengejar apa yang dicintainya. Jika populariti yang dikejar, maka segala kudratnya, usahanya malah hartanya akan dikorbankan kearah pencapaian itu. Jika harta yang dikejar, begitu jugalah ceritanya. Berbagai-bagai jalan dan pengorbanan akan dilakukan untuk menjadi kaya. Itu tidak termasuk lagi ada diantara kita yang meletak nilai kecantikan, kemahsyuran, hiburan dan seupamanya sebagai matlamat hidup. Tidak hairanlah manusia akan kecewa dan sedih yang terlampau apabila nilai yang diletakkannya itu gagal diperoleh di dalam hidup ini.

Sahabat-sahabatku, jangan kita lupa, dalam keasyikan manusia mengejar nilai duniawi, masih ada segolongan manusia yang amat sedikit setia mengejar nilai ukhrawi. Golongan inilah yang kita hajati untuk masuk kedalamnya. Apabila kita meletakkan nilai hidup kita pada sesuatu perkara yang sangat besar, maka apa juga perkara kecil yang menyekat perjalanan kea rah pencapaian matlamat akhir itu tidak mampu mengoyahkan jiwa.

Cuba kita bayangkan seorang pelajar lulusan luar negara, menangis teresak-esak apabila mengenangkan pasukan bola sepak yang diminatinya kalah. Atau marah apabila juri tidak adil mengadili penyanyi kesukaannya di pertandingan-pertandingan nyanyian. Alangkah rendahnya nilai air mata kita, teman. Menangisi sesuatu yang sangat kecil. Nampaknya ilmu daripada Institusi terkemuka tidak mampu membuatkan kita meletak nilai hidup pada taraf yang lebih tinggi.

Atau jika mahu contoh yang tragis, remaja yang membunuh diri kerana putus cinta, atau gagal dalam peperiksaan! Rendahnya nilai hidupmu wahai manusia!

Ini hanya contoh sahaja. Kita sendirilah yang lebih tahu, setinggi mana kita meletakkan nilai hidup kita. Jika kita menyelongkar kembali lembaran sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat, kita dapat melihat dan mengambil banyak contoh-contoh terkait nilai hidup yang tinggi.

Rasulullah SAW sendiri, apabila dipujuk oleh bapa saudaranya untuk meninggalkan Deen ini, baginda tetap tsabat hingga walaupun sekiranya bulan dan matahari diletakkan di kedua belah tangan baginda, tidak sesekali baginda akan meninggalkan urusan Deen ini. Kerana apa? Kerana baginda ada perkara yang lebih besar untuk dicapai. Keredhaan Allah dan penyebaran Islam yang lebih luas.

Atau mungkin kita boleh merungkai kisah Mus’ab B Umair. Terpaksa berhadapan dengan ibunya yang masih kafir. Malah diugut oleh ibu sendiri , ibunya akan membunuh diri jika Mus’ab tidak kembali kepada agama nenek moyang. Tahukah kita apa yang dijawap oleh Mus’ab?

“Wahai ibu. Sekiranya ibu ada seratus nyawa dan nyawamu keluar satu persatu, aku tetap tidak akan berganjak daripada agama ini.”

Subhanallah.

Inilah nilai hidup yang tinggi yang diletakkan oleh para generasi awal.

Kita bagaimana?

Ayuh sama-sama meninggikan nilai hidup kita.

Wallahualam.

Saturday, 2 October 2010

Sudah cukup berhati-hati?



Ketika memandu di jalan yang tidak rata dan berlubang, apakah yang anda lakukan?

Ketika meredah hutan mendaki bukit ketika sedang beriadah bersama rakan-rakan, langkah bagaimana yang akan anda ambil?

Ketika sedang meredah sungai yang dasarnya dipenuhi batu-batu untuk ke seberang, berapa banyak perhatian anda pada setiap langkahanmu?

Juga, ketika melalui jalan yang penuh duri, bagaimanakah anda akan menempuhnya?

Tiada cara berjalan yang lain, melainkan berjalan secara berhati-hati agar tidak terbabas apabila tayar termasuk lubang, tidak terjatuh ketika sedang mendaki, tidak tergelincir ketika sedang menyeberang, dan tidak terluka ketika sedang melalui jalan berduri.

Ini respond manusia, respond yang dipengaruhi oleh pancaindera kita terutamanya mata yang melihat risiko-risiko yang bakal dihadapi jika tersilap melangkah. Respon yang dihantar ke otak untuk mentafsir dan mengawal pergerakan kaki agar berhati-hati dan anggota lain untuk bersedia untuk sebarang kemungkinan. Tidak dinafikan, kedua mata anugerah Allah ini cukup bernilai bagi setiap individu yang dilahirkan mampu untuk melihat.

Namun, bagaimana dengan respon iman terhadap apa yang kedua mata ini lihat di sekelilingnya?

Mari, duduk seketika bermuhasabah tentang sejauh mana mata kita ‘berhati-hati’ terhadap apa yang kita lihat.

Realiti persekitaran

Dunia, dan segala isinya hampir penuh dengan perkara yang memenuhi kehendak musuh iman. Siapakah musuh iman? Dialah AN-NAFS, yang mendiami diri manusia sejak azali, yang sukar untuk mengakui bahawa dirinya adalah hamba Allah sebelum Allah izinkannya mendiami tubuh sebaik-baik ciptaanNya, yakni manusia.

Maka kepada saudara-saudaraku yang masih mampu melihat dengan mata zahirmu, pandanglah ke sekeliling! Kemudian bermuhasabahlah. Apa masih persekitaranmu mentaati Allah? Apa masih persekitaranmu wujud suasana soleh yang mendorongmu untuk mencari redha Allah? Apa masih ada lagi saudara-saudaramu yang sama-sama mengajakmu menjaga mata pandangan daripada memandang perkara yang haram buatmu?

Astaghfirullahal azim...

Jadi bagaimana anda boleh berhati-hati dalam perkara zahir seperti lubang, duri dan batu, tetapi buta dan leka apabila berdepan dengan perkara di persekitaranmu yang turut menggunakan pancaindera yang sama?

Semuanya kerana mata lahiriah kita, tidak punya ‘sesuatu’ yang dipunyai oleh mata hati. Namun perbandingan antara keduanya, cukup untuk membuat kita berfikir sejenak. Itulah AL-IMAN, yang seharusnya mendasari setiap anggota, setiap langkah, setiap detik, setiap nafas malah setiap degupan jantung kita!

Iman mendasari mata hati

Yakin, percaya, membenarkan dan tunduk kepada Allah yang Esa dan mengikuti ajaran PesuruhNya adalah asas kepada jati diri manusia. Asas inilah yang diperlukan untuk setiap daripada kita menjadi lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang kita lihat, kita buat dan kita pilih. Juga keyakinan inilah yang bakal menentukan respond kita terhadap perkara-perkara di sekeliling kita.

Daripada Rasulullah SAW:

Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia hendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.

(HR Muslim)

Hakikatnya, manusialah yang memerlukan iman. Manusialah yang perlu menjaga dan memelihara imannya. Kelalaian menjaganya tidak merugikan sesiapa, tetapi merugikan diri kita sendiri juga akhirnya.

Maka saudaraku, saya ingin tanya semula kepada anda. Bagaimana respond iman anda apabila melihat dunia dan realitinya?

Jika masih ada terasa sedih dengan realiti manusia, suburkanlah rasa itu dengan usaha untuk memperingatkan mereka.

Jika terasa marah dengan tindakan manusia lain, kawal rasa itu dan ubah dengan menegur secara bijaksana.

Jika terasa bahagia dengan suasana soleh yang telah tercipta, alhamdulillah dan peliharalah ia.

Jika anda tidak punya rasa, getaran atau tidak tersentuh hati anda pada setiap yang berlaku, maka sujudlah kembali, memohon keampunan pada Allah kerana bimbang sudah kehilangan hati dan sensitiviti imannya.

Kerana secara lahiriah dan ruhaniahnya, kita seharusnya berhati-hati.

Moga Allah redha.

Thursday, 9 September 2010

Salam Aidilfitri dari kami


Assalamualaikum warahmatullah...

Buat hamba Ramadhani, Ramadhan telah berlalu...

Untuk hamba Rabbani, moga tarbiah Ramadhan meninggalkan kesan dalam dirimu..

Semoga Ramadhan benar-benar menghadiahkan taqwa buat bekalan pada hari-hari yang akan mendatang..

Kami warga Light of Faith mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Minal Aidin Wal Faizin kepada semua petugas, pengunjung, penyokong, pendengar, dan semua kaum Muslim walau di mana sahaja antum berada.

Di dalam kesempatan ini kami ingin memohon seribu kemaafan di atas segala kekhilafan yang telah dilakukan, baik secara sedar mahupun tidak sedar sepanjang kami mengendalikan aktiviti-aktiviti bersama antum. InsyaAllah, segala teguran dan nasihat bakal kami jadikan motivasi untuk berusaha dengan lebih baik.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang selalu menyokong program-program kami seperti Perkongsian Online, Kuliah Subuh Online, Tadarus Online, Radio Ramadhan, Mesra Kembara (MEKAR), Survival Siswi Solehah(SURE), Pre-departure(PURE) dan banyak lagi.

Jangan lupa untuk sentiasa bersama Light of Faith pada program-program yang akan datang, semoga sama-sama kita dapat bekerjasama dalam mencari redha Allah, insyaAllah.


Di dalam kesempatan ini, kami ingin memberi beberapa tips menarik yang boleh dipraktikkan ketika kita semua sedang sibuk membuat persiapan, melayan tetamu dan sebagainya. Semoga setiap tindakan kita itu, mendapat pahala daripada Allah SWT.

1. Mulakan setiap aktiviti atau pekerjaan kita seperti mengacau rendang di kuali dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, semoga berkat rendang yang hendak dihidangkan nanti.

2. Jika kebosanan menunggu lemang yang masih belum masak, hiburkan hati dengan melagukan Asma Ul-Husna atau zikir munajat agar hati sentiasa tenang menolong kaum keluarga di dapur.

3. Sambil menunggu kuih raya yang sedang dibakar di dalam oven, ambil al-Quran kecil anda dan bacalah satu muka surat. Selesai satu muka, pergi lihat keadaan kuih yang tengah dibakar, agak masak dengan sempurna. Boleh dipraktikkan pada aktiviti-aktiviti yang mempunyai sela masa, dengan mengisi sela masa tersebut dengan satu muka surat al-Quran.

4. Dalam perjalanan ke rumah atuk atau sedara, pilihlah saluran radio IKIM.fm yang akan sentiasa mengisi masa perjalanan kita dengan tazkirah dan nasyid yang menyenangkan. Dan yang paling penting sekali, ia turut memberitahu kita supaya peka dengan waktu solat :) (Bagi yang berada di perantauan, boleh pasang CD nasyid dan zikir anda)

5. Ingatlah, tetamu yang datang bakal membawa rahmat ke dalam rumah kita. Amalkan senyuman yang manis, dan muliakan tetamu anda dengan memberi layanan yang baik kepada mereka.

6. Jangan lupa untuk mengamalkan budaya memberi salam ketika menziarahi rumah kaum keluarga dan rakan-rakan. Masuklah ke rumah mereka bermula dengan kaki kanan, dan sebelum pulang, doakan kesejahteraan dan keselamatan penghuni di dalam rumah tersebut.

7. Jika anda bermusafir untuk pulang ke kampung, banyakkanlah berdoa sepanjang perjalanan tersebut kerana antara doa yang mustajab adalah doa orang yang sedang bermusafir :)

8. Pilihlah untuk menonton program-program televisyen yang bermanfaat dan tidak melalaikan. Elakkan daripada menonton program nyanyian, tarian dan games show yang keseluruhannya hanya untuk hiburan yang tidak mengingatkan kita kepada Allah. Jika sampai berebut dengan adik-adik untuk menonton rancangan yang berbeza, tutup sahaja televisyen dan ajak adik-adik anda untuk pergi menziarahi jiran sebelah rumah :)

9. Sabda Rasulullah SAW, kebanyakan penyakit berpunca daripada perut. Maka, awasi kuantiti dan kualiti makanan yang anda makan di hari raya ini. Ingat, makan kerana lapar dan berhenti sebelum kenyang. Jika ingin merasai pelbagai jenis juadah, tidak perlu ulangi juadah yang sama apabila anda ke rumah orang lain pula.

10. Kaji semula salasilah keluarga anda agar anda dapat memastikan dengan tepat siapakah yang boleh dan tidak boleh anda salam dan membuka aurat ketika di kampung atau berkumpul sesama saudara. Boleh rujuk Surah An-Nur, surah ke-24, ayat 31.



Kerna taqwa itu adalah berhati-hati dalam mencari redha Allah. Maka dalam setiap tindakan kita, perlu ada usaha untuk melakukan yang terbaik dan yang Allah redha, insyaAllah.

Salam Aidilfitri daripada kami, dan selamat beramal (^_^)

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes