Tuesday, 29 June 2010

Renungan Bersama: Ekstrim itu di sana...



Ekstrim itu di sana...

Oleh: Bro Jo, Warwickshire


Dalam meniti hari-hari di bumi permaisuri ini, sudah pasti diantara topik-topik bualan harian adalah terkait dengan faktor cuaca. Maklumlah, tanah bermusim empat ini pasti sentiasa berubah waktu dan ketika, cerah dan gelapnya, berdaun dan kadang-kala gugur, bersalji dan kadang-kala kering. Indahnya cuaca ciptaan Allah swt yang dinamakan winter, spring, summer dan autumn. Dan seperti biasa, antara isi bualan manusia adalah terkait dengan suhu, sejuk atau panas. Ketika winter membuka tirai, biasanya keluhan tidak selesa dengan kedinginan melampau (ekstrim) manakala di kala summer menjelma, terpacul pula keluhan 'hari ni panas sangat la'...dan dialog-dialog ini sudah pasti berputar mengikut pusingan musim yang pasti berubah dengan izin Allah swt. Manusia, tetap dengan sifatnya yang lemah, penuh dengan keluh dan kesah... Hidup bagi mereka sentiasa penuh dengan ketidak sempurnaan dan tanpa disedari (mungkin tidak sengaja) keluhan tersebut seolah-olah menyatakan 'ada yang tidak kena dengan ketetapan ciptaan Allah swt ini'. Nauzubillah min zalik.




Keinginan yang pelbagai...


Itulah manusia. Uniknya terletak pada keingginan yang pelbagai. Diciptakan Allah swt dengan balutan nafsu, dicampak pula di tengah-tengah pelbagai bentuk kenikmatan. Suka atau tidak, manusia bukan hanya diuji dengan sesuatu yang dibenci sahaja, tetapi juga diuji dengan kenikmatan. Adakah nikmat yang ada ini, mendekatkan kita kepadaNya?

Jika diperhalusi dan diteliti (muhasabah), ramai yang jatuh terkulai disebabkan sentiasa inginkan sesuatu yang melebihi batasan yang telah ditentukan Allah swt. Sentiasa berhajat pada sesuatu yang melampau (ekstrim). Jika berhibur, melampaunya sampai rosakkan aqal yang sihat, rosakkan maruah yang berharga. Jika kaya, harta dibazirkan tanpa dihitung lagi, perilaku syaitan menjadi ikutan. Jika makan, seolah-olah tidak pernah bertemu makanan seumur hidup, dilahap sungguh-sungguh dan berakhir dengan kenyang, penat, letih, lemah dan membazir. Senaraikan, pasti bertemu dengan sifat melampau tersebut (ekstrim).

Benarlah kata-kata As-Syahid Syed Qutb yang dirahmati Allah swt, 'manusia yang duduk dalam nikmat terlalu lama, hingga terlupa dia berada dalam kenikmatan', dan tetap ingin kenikmatan yang melampau (ekstrim).

Ketika bersuhu dingin, kita berhajat kepada kepanasan manakala jika dalam musim panas terdetik juga inginkan kesejukan. Jika miskin, selalu beranggan-anggan nak jadi kaya dan bila dah kaya beranggan-anggan pula nak jadi kaya-raya. Inilah roda keinginan yang tidak pernah berhenti kecuali apabila nyawa telah berada di tahap ingin meninggalkan kita di kerongkongan nanti.

Dunia bersifat sederhana...


'Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Al-Furqan: 67

Al-Quran banyak berbicara terkait kehidupan dunia yang bersifat sementara dan sederhana ini. Ummatan wasothan sudah pasti menjadi pilihan kita. Ummat pertengahan.

'Dan demikianlah Kami telah menjadikan kalian sebagai umat pertengahan (ummatan wasathan)...' (al-Baqarah: 143)

“Alangkah ajaibnya orang mukmin, dan hal ini hanya berlaku kepada orang mukmin. Sekiranya ia mendapat kebaikan, ia bersyukur, maka itu perkara yang baik. Sekiranya ia ditimpa musibah, ia bersabar, maka itu perkara yang baik.” Hadith Riwayat Muslim.

Mukmin yang benar itu adalah mukmin yang sederhana. Tidak gelojoh dengan nikmat dunia dan tidak pula bersedih hati dengan ujian yang menimpa.

Disatu sisi yang lain, manusia yang tersesat adalah mereka yang gelojoh dan tidak sabar kepada nikmat dunia dan melampau dalam menikmatinya. Jika meninggalkan ajaran dan suruhan Islam untuk mengejar kenikmatan melampau (ekstrim) di dunia ini, sudah pasti kita menjadi manusia yang akan rugi di akhirat nanti.. Ini kerana ektrim itu di sana nanti.

Ekstrim itu di sana..


Bagi mukmin, ekstrim itu disana.., yakni Darul Akhirah (negeri akhirat).
Di Darul Akhirah nanti, bagi orang-orang yang beriman akan kekal berada dalam kenikmatan syurga yang melampau (ektrim).. katakan apa sahaja nikmat yang diinginkan? pasti ada, pasti dapat dan tanpa batasan.. (ekstrim). Makan disyurga Allah boleh tanpa henti, minum boleh tanpa henti, buah-buah boleh dipetik dengan jari, bidadari mengelilingi diri, katakan apa sahaja sudah pasti akan kita dapati... Tiada lagi keluh kesah panas atau sejuk, tiada lagi kedengaran gendang kelaparan, tiada lagi merasa keletihan, tidak perlu lagi kita bersabar, lakukan apa sahaja yang diinginkan wahai penghuni syurga Allah swt... Ekstrim kenikmatan itu di syurga Allah swt nanti..

Di sana juga, terdapat ekstrim yang kedua,.. yang pasti mendukacitakan kita..Darul Akhirah juga menyajikan azab yang melampau (ekstrim) kepada mereka-mereka yang ingkar dan mereka-mereka yang telah memilih untuk melampau (ekstrim) semasa di dunia ini. Di sana nanti sedang menunggu neraka Allah swt yang penuh dengan nilai ekstrim yang tiada hentinya. Dituang minuman panas yang menggelegak, dibakar dengan kepanasan yang melampau, dipenuhi darah dan nanah, katakan apa bentuk ketidaksukaan manusia hari ini, pasti disana nilainya jauh lebih tinggi (ekstrim). Azab tiada henti (ekstrim). Tiada sedikit pun kelalaian, kerengangan masa dan kekurangan. Di azab pada kepanasan, kesakitan, kekeluhan yang tiada henti dan berterusan..

Oleh itu, marilah kita berfikir dan merenung sekejap, untuk kita menahan diri dari merangkul dunia ini tanpa batasan (ekstrim). Tenangkan diri walaupun kita merasakan ianya sukar, bersederhana dalam tingkahlaku, pakaian, kenderaan, makan-minum dan gunakan lebihan-lebihan yang ada untuk kita jadikan pelaburan (infaq) bagi mendapat nikmat melampau (ektrim) di syurga Allah swt nanti.. Biarkan orang-orang kafir tertipu dengan nikmat dunia yang sementara ini.. kelak nanti mereka juga akan mendapat nilai ektrim (melampau) tetapi dalam bentuk azab Allah swt.. tak perlu dengki kepada mereka.

Ekstrim itu disana rupanya.. di Darul Akhirah nanti..



1 comments:

admin.hasizu said...

subhanallah..sangat tersentuh

Post a Comment

Ayuh sama-sama berkongsi :)

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes