Showing posts with label Kenangan Bersama. Show all posts
Showing posts with label Kenangan Bersama. Show all posts

Thursday, 9 September 2010

Salam Aidilfitri dari kami


Assalamualaikum warahmatullah...

Buat hamba Ramadhani, Ramadhan telah berlalu...

Untuk hamba Rabbani, moga tarbiah Ramadhan meninggalkan kesan dalam dirimu..

Semoga Ramadhan benar-benar menghadiahkan taqwa buat bekalan pada hari-hari yang akan mendatang..

Kami warga Light of Faith mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Minal Aidin Wal Faizin kepada semua petugas, pengunjung, penyokong, pendengar, dan semua kaum Muslim walau di mana sahaja antum berada.

Di dalam kesempatan ini kami ingin memohon seribu kemaafan di atas segala kekhilafan yang telah dilakukan, baik secara sedar mahupun tidak sedar sepanjang kami mengendalikan aktiviti-aktiviti bersama antum. InsyaAllah, segala teguran dan nasihat bakal kami jadikan motivasi untuk berusaha dengan lebih baik.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang selalu menyokong program-program kami seperti Perkongsian Online, Kuliah Subuh Online, Tadarus Online, Radio Ramadhan, Mesra Kembara (MEKAR), Survival Siswi Solehah(SURE), Pre-departure(PURE) dan banyak lagi.

Jangan lupa untuk sentiasa bersama Light of Faith pada program-program yang akan datang, semoga sama-sama kita dapat bekerjasama dalam mencari redha Allah, insyaAllah.


Di dalam kesempatan ini, kami ingin memberi beberapa tips menarik yang boleh dipraktikkan ketika kita semua sedang sibuk membuat persiapan, melayan tetamu dan sebagainya. Semoga setiap tindakan kita itu, mendapat pahala daripada Allah SWT.

1. Mulakan setiap aktiviti atau pekerjaan kita seperti mengacau rendang di kuali dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, semoga berkat rendang yang hendak dihidangkan nanti.

2. Jika kebosanan menunggu lemang yang masih belum masak, hiburkan hati dengan melagukan Asma Ul-Husna atau zikir munajat agar hati sentiasa tenang menolong kaum keluarga di dapur.

3. Sambil menunggu kuih raya yang sedang dibakar di dalam oven, ambil al-Quran kecil anda dan bacalah satu muka surat. Selesai satu muka, pergi lihat keadaan kuih yang tengah dibakar, agak masak dengan sempurna. Boleh dipraktikkan pada aktiviti-aktiviti yang mempunyai sela masa, dengan mengisi sela masa tersebut dengan satu muka surat al-Quran.

4. Dalam perjalanan ke rumah atuk atau sedara, pilihlah saluran radio IKIM.fm yang akan sentiasa mengisi masa perjalanan kita dengan tazkirah dan nasyid yang menyenangkan. Dan yang paling penting sekali, ia turut memberitahu kita supaya peka dengan waktu solat :) (Bagi yang berada di perantauan, boleh pasang CD nasyid dan zikir anda)

5. Ingatlah, tetamu yang datang bakal membawa rahmat ke dalam rumah kita. Amalkan senyuman yang manis, dan muliakan tetamu anda dengan memberi layanan yang baik kepada mereka.

6. Jangan lupa untuk mengamalkan budaya memberi salam ketika menziarahi rumah kaum keluarga dan rakan-rakan. Masuklah ke rumah mereka bermula dengan kaki kanan, dan sebelum pulang, doakan kesejahteraan dan keselamatan penghuni di dalam rumah tersebut.

7. Jika anda bermusafir untuk pulang ke kampung, banyakkanlah berdoa sepanjang perjalanan tersebut kerana antara doa yang mustajab adalah doa orang yang sedang bermusafir :)

8. Pilihlah untuk menonton program-program televisyen yang bermanfaat dan tidak melalaikan. Elakkan daripada menonton program nyanyian, tarian dan games show yang keseluruhannya hanya untuk hiburan yang tidak mengingatkan kita kepada Allah. Jika sampai berebut dengan adik-adik untuk menonton rancangan yang berbeza, tutup sahaja televisyen dan ajak adik-adik anda untuk pergi menziarahi jiran sebelah rumah :)

9. Sabda Rasulullah SAW, kebanyakan penyakit berpunca daripada perut. Maka, awasi kuantiti dan kualiti makanan yang anda makan di hari raya ini. Ingat, makan kerana lapar dan berhenti sebelum kenyang. Jika ingin merasai pelbagai jenis juadah, tidak perlu ulangi juadah yang sama apabila anda ke rumah orang lain pula.

10. Kaji semula salasilah keluarga anda agar anda dapat memastikan dengan tepat siapakah yang boleh dan tidak boleh anda salam dan membuka aurat ketika di kampung atau berkumpul sesama saudara. Boleh rujuk Surah An-Nur, surah ke-24, ayat 31.



Kerna taqwa itu adalah berhati-hati dalam mencari redha Allah. Maka dalam setiap tindakan kita, perlu ada usaha untuk melakukan yang terbaik dan yang Allah redha, insyaAllah.

Salam Aidilfitri daripada kami, dan selamat beramal (^_^)

Wednesday, 28 April 2010

MEKAR 2010: Corat Coret Rindu dari Seorang Peserta

Rasanya, dah ada dua ‘entry’ yang meluah rasa jiwa tentang MESRA KEMBARA 2010: Torquay, Devon. Tapi kali ini, Bunga juga mahu mencoret..mungkin juga isinya sama..yang pasti caranya berbeza..yeaayy!


Sungai di CP 'Kembara Anak-anak kita'


=..MENCARI CINTA..=

Sangat tepatlah tema kali ini “Mesra Kembara Mencari Cinta” dengan pengisian di dalamnya.. kerana Bunga amat pasti, setiap jasad yang hadir kali ini dipenuhi dengan jiwa-jiwa penuh rasa cinta saat menjelang pengakhiran program ! Benar kan??

Bergambar di CP 1 'Kembara Kita'


=CINTA KAN ALLAH..SELAMANYA BAHAGIA=

Bagaimana mahu dipupuk kecintaan terhadap Illah yang satu itu andai tidak mengenaliNya dan mengakui kekuasaanNya?
Dan inilah peluang terbaik..MEKAR menjadi antara platform effektif untuk mengenal Allah dan isi ciptaanNya!
Dengan baraan semangat mahu mengenal Pencipta Cinta, para peserta bersama-sama membelah bumi Devon..melihat luas langit biru, memandang hijau segar pohonan kayu, mendengar tenang desir ombak laut..
Aduhai..jujurnya, kecintaan Bunga pada Sang Pencipta Cinta ini meningkat ganda! Rasa bahagia dalam jiwa..bahagia yang benar-benar membahagiakan! Anda pula..terasa yang sama kah?

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, penggantian malam dan siang, kapal yang belayar di laut dnegan (muatan) yang bermanfaat bagi manusia, apa yang diturunkan Allah dari langit berupa air, lalu dengan itu dihidupkanNya bumi setelah mati (kering), dan Dia tebarkan di dalamnya bermacam-macam binatang, dan perkisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi (semua itu) sungguh, merupakan tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang mengerti”.
[Al-Baqarah:164]

Hey..Allah izin kita lalui semua itu sepanjang 4 hari 3 malam meMEKARkan cinta di jiwa! SubhanaAllah!!

Kita dapat lihat terang mentari siang dan gelap langit malam..kita dapat lihat kapal-kapal sewaktu di Blackpools Sand dan di Berry Head..kita dapat lihat kuntuman indah bungaan kecil dan segar hijau tumbuhan di National Park Dartmoor ..dan ada masa kita diraikan dengan titisan hujan rahmat Allah!

Apa lagi yang mahu kita nafikan? Itulah nikmat kurniaan Allah pada hamba-hambaNya..kerana apa? Kerana Allah mencintai ciptaanNya..dan pemberianNya itulah bukti cinta Dia pada kita! Kita pula..adakah benar kita mencintai Allah?

“Hah..kalau cinta, mana buktinya??”

Soalan klise ni..tapi andai kita ditanya bukti kecintaan kita pada Allah..bagaimana jawapan kita agaknya ya??

Jawapan Bunga:

Jika benar kita cinta Dia, Dia perlu dijadikan keutamaan dalam setiap perkara..dan Dia menjadi matlamat utama kita!

Jika benar kita cinta Dia.. kita perlu mencintai Rasullah sepenuhnya..dan sunnah dan amalan Baginda menjadi amalan kita..kerana mencintai Rasullah tanda kita mencintai Dia!

Jika benar kita cinta Dia, sudah pasti kita akan terus dan terus mempertingkat ibadah dan amal soleh..sebagai tanda ketundukan kita pada kekuasaanNya!

Jika benar kita cinta Dia, pasti sahaja kita mensyukuri segala pemberianNya..bukan hanya dengan lafaz kata tetapi juga dengan perbuatan kita!

Banyak lagi jawapan yang ada..dan ia menjadi cara kita menterjemah cinta kita pada Dia.
..dan jawapan anda..bagaimana pula? Punya persamaan dan pertambahan kah?

Solat Jemaah di BlackPool Sandbeach, Dartmoth


=CINTA MANUSIA..MOGA ALLAH REDHA=

Teringat ayat yang selalu dikongsikan oleh teman-teman jiwa Bunga..

“Jiwa mukmin..selalu merindui untuk duduk dalam suasana iman dan ukhwah”

Lihat..betapa jiwa mukmin hebat itu merindui rasa kebersamaan..mahu bersama dalam berbicara..mahu bersama dalam tangis tawa..mahu bersama dalam usaha untuk ke syurga Allah!
Dan Allah mengizinkan kita merasai nikmat ukhwah dan kebersamaan ini dalam MEKAR 2010..

..si isteri terasa amat dekat dan semakin dekat dengan suaminya (hihi..ini berdasarkan pengalaman Bunga yang duduk di dalam caravan ibu-ibu..hoho)

..si anak pula mengambil peluang bermanjaan dengan ummi abi..merasa belai kasih keduanya..(aiisshh..jeles betul rasanya..huhu)

..dan pastinya, inilah masa untuk membina dan mengukuhkan tali ukhwah dan rasa cinta yang ada pada teman-teman..dengan satu matlamat..untuk peroleh redha Allah!

Lambaian kasih mereka..


Teringat pula pada bicara Imam Hasan Al-Banna..

“Yang saya maksudkan dengan ukhuwah ialah hati dan jiwa yang terikat dengan ikatan aqidah..”

..dan insyaAllah, yang mengikat hati-hati kita ini adalah dasar keimanan yang sama..insyaAllah..semoga bertambah kukuh dan kemas tali ikatan itu..


=KONKLUSI: MARI MEKARKAN CINTA YANG ADA!=

“Akan ada tujuh golongan yang dinaungi oleh Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya…. Dua lelaki yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah hanya kerana Allah SWT”
[Hadith Riwayat Bukhari]

Bertemunya kita kerana Allah..dan berpisahnya kita juga kerana Allah...berakhirnya program MEKAR tidak pernah memberi noktah pada usaha menyemai cinta yang sudah terbina ini..cinta pada Allah..cinta pada alam..cinta pada saudara seagama.
..ianya sudah ada..dan kita perlu jaga ia!

Titipkan doa pada Allah..agar hati-hati kita ini ditetapkan terus dan terus pada jalanNya..pohonlah pada Allah agar tidak dilalaikan dengan goda dunia sehingga terlupa matlamat utama [redha Allah].

Ahli Keluarga Mekar 2010


MEKAR 2010 telah berjaya (ini yang Bunga rasa):

..menambah rasa cinta kita pada Pencipta Cinta..

..menambah erat jaringan ukhwah..sama ada yang sudah lama dikenali mahupun yang baru sahaja berkenalan..


Jadi..seruan Bunga pada diri sendiri dan pada yang membaca..

AYUH! MARI MEKARKAN CINTA YANG ADA INI!

..tunggu apa lagi??


Ya Allah... kurniakanlah kefahaman...kejelasan..keyakinan.. kepintaran..kekuatan serta ketenangan jiwa kepada teman-temanku ini... ya Allah.. Limpahkanlah rahmat dan cintaMu kepada teman-temanku ini... jangan Kau sempitkan mereka dengan belenggu masalah.. jangan Kau hukum dia kerana kekurangan dan kelemahan yang ada dalam dirinya...permudahkanlah urusan teman-temanku ini ya Allah... ya Allah... tempatkan teman-temanku ini d kalangan kekasih-kekasihMu.. tinggikan darjat teman-temanku ini dalam ketaqwaan..keimanan.. redhailah teman-temanku ini di dunia dan akhirat kerana aku amat mengasihi teman-temanku ini.... Demi Tuhan sekalian alam.. teman-temanku ini telah mmberikan ketenangan..kegembiraan kepadaku... Engkau satukanlah hati-hati kami ya Allah...

p/s: tak sabar menanti SEGAR [Summer Gathering] pula..harap-harap dapat la ‘join’ lagi..huhu [insyaAllah..]



-Seri Bunga-
Plymouth, England

Wednesday, 21 April 2010

MEKAR 2010: Video Kenangan Kita Bersama




Salam wbt buat saudara/i yang dikasihi kerana Allah sentiasa..

Alhamdulillah, dengan izin-Nya, Program Mesra Kembara 2010 (MEKAR 2010) kita berlalu dengan jayanya. Seramai 80 saudara/i muslim/ah berkumpul bersama-sama dalam rangka untuk mencari, membina dan menyebarkan rasa CINTA Kepada Yang Maha Pencipta dan kepada yang diCIpta tanpa sia-sia.

Alhamdulillah, kami bersama-sama menghayati keagungan dan kebesaran-Nya melalui Kitab Terbuka di South Devon, England. Segala puji bgi Allah, yang memudahkan segala urusan kami.

Dengan itu, moga-moga video ini dapat mengabadikan secebis kenangan yang kita telah lakar bersama-sama sepanjang perkelanaan kita di bumi Allah ini.

Tertarik dengan Firman ALLAH swt yang bermaksud;

"dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan mereka; akan tetapi ALLAH telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya DIA Maha GAGAH lagi Maha BIJAKSANA" (8:63)

Sungguh, ketahuilah, pertemuan kite di Mekar2010 bukanlah pertemuan secara 'kebetulan', tetapi terancang indah oleh Yang Maha Merancang. Moga-moga pertemuan dan perpisahan kita di MEKAR 2010 menjadi satu pembuka jalan kepada sebuah persaudaraan yang lebih utuh, diberkati dan abadi dengan matlamat semata-mata mencari Redha Yang Maha Sempurnya, insya-allah..

wallahua'lam. wassalam wbt

salam sayang
dan salam ukhuwwah kerana allah..

Light of Faith TM


MEKAR2010: 'Kembara Mencari Cinta Ilahi disulami Cinta Insani'

Mekar10 baru sahaja berlalu namun ukhuwah dan kerinduan yg terjalin masih berbunga dan berkembang mekar sehingga kini sesuai dengan musim bunga yang menjelang tiba. Terngiang-ngiang bisikan kasih persaudaraan di angin lalu bersama panggilan bayu istimewa dari selatan England. Maka tanggal 2 April 2010 membawa kita berjaulah ke lokasi bernama Torquay dalam daerah Devon. Jaulah kali ini menyaksikan kehadiran rakan-rakan dari Ireland, dari Mesir, dari Nottingham, dari Coventry, dari Birmingham, dari Wales, dari Liverpool, dari London, dari Canterbury, dari Surrey, dari Southampton dan juga dari Plymouth dengan jemputan istimewa seorang fasilitator khas dari Malaysia. Inilah kembara jaulahku bersama seorang rakan sefamili yang telah lama terpisah, namun keranaNya jua kami bersua kembali, AlhamduliLlah, Dialah sebaik-baik perancang.

Di English Riviera kita berjanji setia untuk bertemu kerana panggilan cinta kepadaNya meski ada yg belum pernah bersua, namun cinta kepadaNya mengikat dan mengerat hati-hati kita dan menjadikan persaudaraan Islam ini bukanlah teori semata.
“dan Dia (Allah) mempersatukan hati mereka (orang beriman). Walaupun kamu menginfaqkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” (Al-Anfaal: 63).

Mesra Kembara Mencari Cinta sesuai dengan tema Mekar10 kali ini, kerana kembara kita mentadabbur alam mencari cinta Sang Khalik dan dalam pencarian cinta terhebat ini kita turut menemukan cinta persaudaraaan sesama insan melalui ikatan ukhuwwah yang terbina lewat kebersamaan kita yang telah mewujudkan mahabbah dan kasih sayang yang tidak bisa diungkapkan dengan lisan, namun rasa kecintaan yang menguasai diri dan amat berbekas hati. Inilah nikmat ukhuwwah, nikmat kedua terbesar yang diberikanNya setelah nikmat Islam dan Iman. Maka tidakkah sepatutnya kita menjadi orang-orang yg bersyukur?, “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (Ar-Rahman).

“Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” (Ali-Imran: 190). Benarlah kata-kataNya dan Mekar10 kali ini cuba memanifestasikan ayat ini dalam bentuk amali dengan aktiviti trekking meneroka National Park Dartmoor. Bukit-bukau kita daki, lurah kita turuni, sungai kita seberangi, meski penat, namun setiap kali memandang ke depan, masyaAllah tergamam melihat keindahan ciptaanNya. “...Maha suci Allah, tidak lah engkau jadikan ini sia-sia” (Ali-Imran:191). Itulah yang dirasai setiap kali mata didongak, ditoleh dan dipalingkan melihat ciptaanNya. Bagaimana harus lagi diperbuat kerana ke mana-mana sahaja kita memandang maka kekaguman tidak pernah berkurang, subhanaLlah sungguh indah dan sempurna ciptaanMu dan amat sedikit manusia mengambil pengajaran daripadanya. Moga apa yang kita lalui dan rasai ini terus kekal dan tidaklah kita termasuk dalam golongan tersebut. Lihatlah saudara-saudaraku keindahan alam ciptaanNya, lalu apa lagi perlu kita lakukan selain tunduk dan mengucapkan syukur kepadaNya dengan sebenar-benar syukur dalam hati, lisan malah amalan kita.

Disetiap perhentian trekking ini, kita diberikan pengisian minda dan hati yg sungguh mengesankan oleh Cikgu Azmi Bahari, pakar motivasi dari Malaysia, menjadikan betapa holistiknya aktiviti ini kerana selain pengisian fizikal, hati dan minda kita turut disajikan dengan sajian yang sungguh lazat. Bukankah Islam itu syumul, maka apapun yg dilakukan seharusnya diekspresikan kesyumulannya. Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Baqarah: 208-209).

AlhamduliLlah, alangkah beruntungnya kita kerana telah terpilih untuk berada dalam kesyumulan Islam dan juga berada di Dartmoor ini menyertai trekking Rabbani dalam rangka menjadi hamba yang Rabbani kepada Rabb, Tuhan sekelian alam.

Perjalanan yang jauh, ranjau yang ditempuhi, bukit yang ditawan, lurah yang dituruni, sungai yang diseberangi; serasa seolah-olah dekat, remeh dan begitu mudah dilewati sebaik sahaja tiba ke destinasinya. Benarlah tika memandang ke belakang betapa kecilnya apa yang dilalui itu apabila sebaik sahaja kita sampai ke destinasi. Begitulah hidup ini: sebesar mana ujian, kesusahan, kesakitan, penat lelah dan kesedihan yg dilalui, akan kelihatan kecil dan sekelumit cuma apabila kita sampai ke destinasi kita, kampong akhirat, tempat pertemuan yang dinanti-nanti dengan Dia, Allah SWT yg selama ini dirindui dan dicintai.
"Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?" (Al An’am : 32)

Tadabbur Alam meneroka Dartmoor telah menghubungkan kita kepada Sang Pencipta disusuli pula dengan taaruf ringkas tadabbur insan yang bersama, memimpin dan memegang tangan, menyokong dan membantu disepanjang penerokaan ini. Pada ketika itu, lisan berkata dan matapun memandang dengan penuh cinta, bibir tersenyum dan hatipun berbunga menggambarkan betapa nikmat ukhuwah ini. Moga berkekalan sehingga ke syurga, insyaAllah.

"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, maka menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Ali-Imran:103).

Sesungguhnya daku amat menyayangi kamu semua kerana Allah.
~Nukilan hati Putih~

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes