Mekar10 baru sahaja berlalu namun ukhuwah dan kerinduan yg terjalin masih berbunga dan berkembang mekar sehingga kini sesuai dengan musim bunga yang menjelang tiba. Terngiang-ngiang bisikan kasih persaudaraan di angin lalu bersama panggilan bayu istimewa dari selatan England. Maka tanggal 2 April 2010 membawa kita berjaulah ke lokasi bernama Torquay dalam daerah Devon. Jaulah kali ini menyaksikan kehadiran rakan-rakan dari Ireland, dari Mesir, dari Nottingham, dari Coventry, dari Birmingham, dari Wales, dari Liverpool, dari London, dari Canterbury, dari Surrey, dari Southampton dan juga dari Plymouth dengan jemputan istimewa seorang fasilitator khas dari Malaysia. Inilah kembara jaulahku bersama seorang rakan sefamili yang telah lama terpisah, namun keranaNya jua kami bersua kembali, AlhamduliLlah, Dialah sebaik-baik perancang.
Di English Riviera kita berjanji setia untuk bertemu
kerana panggilan cinta kepadaNya meski ada yg belum pernah bersua, namun cinta kepadaNya mengikat dan mengerat hati-hati kita dan menjadikan persaudaraan Islam ini bukanlah teori semata. “dan Dia (Allah) mempersatukan hati mereka (orang beriman). Walaupun kamu menginfaqkan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” (Al-Anfaal: 63).Mesra Kembara Mencari Cinta sesuai dengan tema Mekar10 kali ini, kerana kembara kita mentadabbur alam mencari cinta Sang Khalik dan dalam pencarian cinta terhebat ini kita turut menemukan cinta persaudaraaan sesama insan melalui ikatan ukhuwwah yang terbina lewat kebersamaan kita yang telah mewujudkan mahabbah dan kasih sayang yang tidak bisa diungkapkan dengan lisan, namun rasa kecintaan yang menguasai diri dan amat berbekas hati. Inilah nikmat ukhuwwah, nikmat kedua terbesar yang diberikanNya setelah nikmat Islam dan Iman. Maka tidakkah sepatutnya kita menjadi orang-orang yg bersyukur?, “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (Ar-Rahman).
“Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” (Ali-Imran: 190). Benarlah kata-kataNya dan Mekar10 kali ini cuba memanifestasikan ayat ini dalam bentuk amali dengan aktiviti trekking meneroka National Park Dartmoor. Bukit-bukau kita daki, lurah kita turuni, sungai kita seberangi, meski penat, namun setiap kali memandang ke depan, masyaAllah tergamam melihat keindahan ciptaanNya. “...Maha suci Allah, tidak lah engkau jadikan ini sia-sia” (Ali-Imran:191). Itulah yang dirasai setiap kali mata didongak, ditoleh dan dipalingkan melihat ciptaanNya. Bagaimana harus lagi diperbuat kerana ke mana-mana sahaja kita memandang maka kekaguman tidak pernah berkurang, subhanaLlah sungguh indah dan sempurna ciptaanMu dan amat sedikit manusia mengambil pengajaran daripadanya. Moga apa yang kita lalui dan rasai ini terus kekal dan tidaklah kita termasuk dalam golongan tersebut. Lihatlah saudara-saudaraku keindahan alam ciptaanNya, lalu apa lagi perlu kita lakukan selain tunduk dan mengucapkan syukur kepadaNya dengan sebenar-benar syukur dalam hati, lisan malah amalan kita.
Disetiap perhentian trekking ini, kita diberikan pengisian minda dan hati yg sungguh mengesankan oleh Cikgu Azmi Bahari, pakar motivasi dari Malaysia, menjadikan betapa holistiknya aktiviti ini kerana selain pengisian fizikal, hati dan minda kita turut disajikan dengan sajian yang sungguh lazat. Bukankah Islam itu syumul, maka apapun yg dilakukan seharusnya diekspresikan kesyumulannya. “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketah
uilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Baqarah: 208-209).AlhamduliLlah, alangkah beruntungnya kita kerana telah terpilih untuk berada dalam kesyumulan Islam dan juga berada di Dartmoor ini menyertai trekking Rabbani dalam rangka menjadi hamba yang Rabbani kepada Rabb, Tuhan sekelian alam.

Sesungguhnya daku amat menyayangi kamu semua kerana Allah.




09:05
Light of Faith TM
Posted in:
0 comments:
Post a Comment
Ayuh sama-sama berkongsi :)