Thursday, 9 September 2010

Salam Aidilfitri dari kami


Assalamualaikum warahmatullah...

Buat hamba Ramadhani, Ramadhan telah berlalu...

Untuk hamba Rabbani, moga tarbiah Ramadhan meninggalkan kesan dalam dirimu..

Semoga Ramadhan benar-benar menghadiahkan taqwa buat bekalan pada hari-hari yang akan mendatang..

Kami warga Light of Faith mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Minal Aidin Wal Faizin kepada semua petugas, pengunjung, penyokong, pendengar, dan semua kaum Muslim walau di mana sahaja antum berada.

Di dalam kesempatan ini kami ingin memohon seribu kemaafan di atas segala kekhilafan yang telah dilakukan, baik secara sedar mahupun tidak sedar sepanjang kami mengendalikan aktiviti-aktiviti bersama antum. InsyaAllah, segala teguran dan nasihat bakal kami jadikan motivasi untuk berusaha dengan lebih baik.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang selalu menyokong program-program kami seperti Perkongsian Online, Kuliah Subuh Online, Tadarus Online, Radio Ramadhan, Mesra Kembara (MEKAR), Survival Siswi Solehah(SURE), Pre-departure(PURE) dan banyak lagi.

Jangan lupa untuk sentiasa bersama Light of Faith pada program-program yang akan datang, semoga sama-sama kita dapat bekerjasama dalam mencari redha Allah, insyaAllah.


Di dalam kesempatan ini, kami ingin memberi beberapa tips menarik yang boleh dipraktikkan ketika kita semua sedang sibuk membuat persiapan, melayan tetamu dan sebagainya. Semoga setiap tindakan kita itu, mendapat pahala daripada Allah SWT.

1. Mulakan setiap aktiviti atau pekerjaan kita seperti mengacau rendang di kuali dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, semoga berkat rendang yang hendak dihidangkan nanti.

2. Jika kebosanan menunggu lemang yang masih belum masak, hiburkan hati dengan melagukan Asma Ul-Husna atau zikir munajat agar hati sentiasa tenang menolong kaum keluarga di dapur.

3. Sambil menunggu kuih raya yang sedang dibakar di dalam oven, ambil al-Quran kecil anda dan bacalah satu muka surat. Selesai satu muka, pergi lihat keadaan kuih yang tengah dibakar, agak masak dengan sempurna. Boleh dipraktikkan pada aktiviti-aktiviti yang mempunyai sela masa, dengan mengisi sela masa tersebut dengan satu muka surat al-Quran.

4. Dalam perjalanan ke rumah atuk atau sedara, pilihlah saluran radio IKIM.fm yang akan sentiasa mengisi masa perjalanan kita dengan tazkirah dan nasyid yang menyenangkan. Dan yang paling penting sekali, ia turut memberitahu kita supaya peka dengan waktu solat :) (Bagi yang berada di perantauan, boleh pasang CD nasyid dan zikir anda)

5. Ingatlah, tetamu yang datang bakal membawa rahmat ke dalam rumah kita. Amalkan senyuman yang manis, dan muliakan tetamu anda dengan memberi layanan yang baik kepada mereka.

6. Jangan lupa untuk mengamalkan budaya memberi salam ketika menziarahi rumah kaum keluarga dan rakan-rakan. Masuklah ke rumah mereka bermula dengan kaki kanan, dan sebelum pulang, doakan kesejahteraan dan keselamatan penghuni di dalam rumah tersebut.

7. Jika anda bermusafir untuk pulang ke kampung, banyakkanlah berdoa sepanjang perjalanan tersebut kerana antara doa yang mustajab adalah doa orang yang sedang bermusafir :)

8. Pilihlah untuk menonton program-program televisyen yang bermanfaat dan tidak melalaikan. Elakkan daripada menonton program nyanyian, tarian dan games show yang keseluruhannya hanya untuk hiburan yang tidak mengingatkan kita kepada Allah. Jika sampai berebut dengan adik-adik untuk menonton rancangan yang berbeza, tutup sahaja televisyen dan ajak adik-adik anda untuk pergi menziarahi jiran sebelah rumah :)

9. Sabda Rasulullah SAW, kebanyakan penyakit berpunca daripada perut. Maka, awasi kuantiti dan kualiti makanan yang anda makan di hari raya ini. Ingat, makan kerana lapar dan berhenti sebelum kenyang. Jika ingin merasai pelbagai jenis juadah, tidak perlu ulangi juadah yang sama apabila anda ke rumah orang lain pula.

10. Kaji semula salasilah keluarga anda agar anda dapat memastikan dengan tepat siapakah yang boleh dan tidak boleh anda salam dan membuka aurat ketika di kampung atau berkumpul sesama saudara. Boleh rujuk Surah An-Nur, surah ke-24, ayat 31.



Kerna taqwa itu adalah berhati-hati dalam mencari redha Allah. Maka dalam setiap tindakan kita, perlu ada usaha untuk melakukan yang terbaik dan yang Allah redha, insyaAllah.

Salam Aidilfitri daripada kami, dan selamat beramal (^_^)

0 comments:

Post a Comment

Ayuh sama-sama berkongsi :)

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes